Thursday, March 31, 2011

TANDA-TANDA EGO

    Sifat ego adalah penyakit batin. Ianya adalah abstrak atau maknawiyah, yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Namun tetap dapat dikesan melalui tanda-tanda lahiriah pada sikap seseorang itu. Atau dengan kata lain, sifat ego itu ada manifestasi atau implikasinya. Berdasarkan sikap dan tanda-tanda yang terserlah itulah dapat mengenali seseorang itu memiliki sifat ego. Di antara ciri-ciri ego itu adalah seperti berikut :-

Tidak mahu menerima dari orang atau pihak lain. Seolah-olah merasa rendah atau tercabar atau terhina andainya kebenaran itu keluar dari mulut orang lain. Lebih-lebih lagi sekiranya sesuatu yang benar itu datangnya daripada orang bawahannya atau orang yang dianggap status sosialnya lebih rendah.
Ego juga dapat dilihat bilamana seringkali menzalimi orang lain apabila seseorang itu memiliki kuasa. Dia akan gunakan kuasa itu bukan sebagai amanah atau tanggungjawab tetapi sebagai peluang untuk menindas atau mendatangkan kesusahan kepada orang lain. Andainya roda pusingan kehidupan menjadikan gilirannya pula berada di bawah atau menjadi pengikut, ketika itu dia akan menjadi orang yang paling sukar untuk taat setia kepada pihak atasannya. Egonya itu membuatkan dia menjadi amat sukar untuk tunduk kepada peraturan dan perintah ketuanya.
Sering sahaja bercekak pinggang sebagai gambaran membesar diri. Sifat egonya itu terzahir dalam perbuatan bercekak pinggang biarpun tanpa disedarinya.
Payah hendak bertegur sapa kecuali kalau orang lain mendahuluinya. Dia merasakan tidak layak untuk menghormati orang lain seolah-olah orang lain yang patut menghormati dirinya.
Isi perbualan atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang.
Selalu berwajah serius dan masam. Ditambah pula dengan sikap yang kurang mesra.
Sangat memilih kawan terutamanya di kalangan orang yang setaraf sahaja. Kadang-kadang lebih suka berada di tengah-tengah orang yang lebih rendah bukan kerana merendah diri tetapi mengharapkan agar dirinya kelihatan lebih menonjol. Dan begitulah sebaliknya cuba mengelak berkawan dengan orang yang lebih atas kerana tidak mahu kelihatan dirinya rendah.
Sangat mudah tercabar oleh kebaikan orang lain. Apatah lagi apabila dicabar maka sangat tidak dapat menguasai emosi. Mudahnya tercabar itu samada akan memberi tindak-balas atau terus merajuk dan membawa hati.
Mudah menjadi marah terutamanya kalau orang lain yang membuat silap, lebih-lebih lagi kalau kesilapan itu tertimpa ke atas dirinya.
Kalau dia terbukti bersalah sangat sukar untuk meminta maaf. Dan apabila orang lain yang bersalah pula sangat sukar memaafkan.
Tidak boleh ditegur atau tidak mahu menerima teguran. Teguran boleh menyebabkan dia sakit hati malah timbul dendam terhadap orang yang menegurnya.
Sangat suka dipuji malah sentiasa menunggu-nunggu sahaja akan pujian orang kepadanya. Kalau dia mendengar pujian terhadap orang lain di hadapannya maka timbul sakit hati kepada orang yang memuji itu dan sakit hati kepada orang yang dipujinya.
Sangat suka berbahas. Dalam perbahasan pula sering meninggikan suara. Berbahas pula bukan hendak mencari kebenaran tetapi hendakkan kemenangan walaupun salah.
 

    Kesan sifat ego ini sangat merbahaya dan dahsyat. Lihat sahajalah Firaun, Namrud dan Hamman, kerana egolah mereka sanggup menderhakai Tuhan. Bahkan sanggup mati di dalam kekufuran. Biarpun berbagai bencana Tuhan datangkan sebagai amaran dan ancaman, semuanya tidak menjadi pengajaran, iktibar dan ingatan. Apalah ertinya mempertahankan ‘kenikmatan’ ego itu sedangkan menanggung seksa dan laknat Allah SWT

P/s:-Jangan la kita bersikap ego seperti moto ego....Sikap EGO ni akan makan diri kita sendiri.....semua org ada ego tpi jgn la tinggi sangat....

Dikopi dari http://halaqah.net/v10/index.php?topic=3515.0

1 comment:

NuRAin PuNYa